Monday 6 March 2017

ISU PEMBUANGAN BAYI

Pendahuluan

Isu Pembuangan bayi yang semakin hari semakin banyak dilaporkan di dada akhbar dan paling menyayat hati terdapat bayi yang tidak berdosa bukan saja dibuang, malah dibakar. Menurut pandangan Anitayahya (2007), pengguguran dan pembuangan bayi membawa maksud penamatan proses kehamilan sebelum cukup bulan (sembilan bulan untuk manusia) yang mengakibatkan kemusnahan janin. Pandangan yang diberikan oleh saudari Anitayahya ini membuktikan bahawa pembuangan bayi ini merupakan satu jenayah yang boleh dianggap sebagai jenayah berat dan teruk. Selain itu, definisi dari saudari Anitayahya turut memaparkan kesan negatif kepada ibu sekiranya proses kelahiran dalam melahirkan anak tidak mengikut kaedah yang betul.
Mengikut Kamus Dewan Edisi 4, halaman 208, perkataan buang bermaksud mencampakkan, melemparkan, menghapuskan, dan menghilangkan. Perkataan bayi bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh si ibu. Manakala, makna pembuangan bayi pula adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan. Definisi yang ditakrifkan dalam kamus Dewan ini menjurus ke arah menerangkan makna pembuangan bayi yang lebih jelas. Maksud yang diberikan ini mampu memberi lebih kefahaman kepada pembaca untuk mengetahui lebih mendalam tentang masalah pembuangan bayi ini.
Akta yang terlibat didalam kes pembuangan bayi ialah Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) Bab 3 Kesalahan Berhubung Dengan Kesihatan Dan Kebajikan Kanak –Kanak. Seksyen 31 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. Di Malaysia, kes pembuangan bayi dilihat berlaku semakin menjadi-jadi. Dianggarkan bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan di Malaysia, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun 2010 hingga 12/8/2010. Malah masalah ini dari hari ke hari semakin bertambah di negara tersebut. Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM 20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Faktor-Faktor Pembuangan Bayi

Pada zaman abad ke 21 ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dan bersedia dalam menongkah arus pemodenan dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu terkenal di mata dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini, masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam kalangan masyarakat Malaysia, iaitu masalah pembuangan bayi. Biasanya, golongan remaja yang sering terlibat dalam kes pembuangan bayi di Malaysia. Di bawah ada beberapa faktor pembuangan bayi:

·         Kurang Didikan dan Kefahaman Agama

Faktor utama berlakunya permasalahan ini ialah kurangnya didikan dan kefahaman agama. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Remaja yang melibatkan diri dalam gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sudah semestinya menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini telah menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama tidak teragak-agak untuk membuang dan meninggalkan anak mereka selepas dilahirkan. Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja membunuh dan membakar bayi yang mereka lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit mereka. Sikap negatif mereka ini telah menimbulkan seribu tanda tanya kepada masyarakat tentang kewibawaan mereka dalam memacu Malaysia ke arah pemodenan pada masa hadapan.

·         Pengaruh Rakan Sebaya

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja berlaku. Rakan-rakan yang negatif tidak teragak-agak mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat seperti pergi ke tempat hiburan, menghisap dadah, melepak, melakukan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuang bayi mereka demi mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar.

·         Sikap Masyarakat

Di samping itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah pembuangan bayi ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang serong padanya. Secara tidak langsung, remaja perempuan itu juga pastinya dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Remaja perempuan berasa tertekan dengan bebanan yang ditanggung seorang diri tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut mengambil jalan mudah dengan membuang bayinya ekoran bimbang dipandang jijik dan hina oleh masyarakat. Jalan mudah yang diambil mereka membuktikan bahawa mereka memerlukan bimbingan dan sokongan daripada masyarakat untuk menyelesaikan masalah yang mereka alami.

·         Sikap Ingin Tahu Remaja

Faktor yang terakhir adalah sikap remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin diterokai oleh mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi seks rambang. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas ini. Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu ini sebenarnya tidak mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima mereka. Sebagi remaja yang matang, mereka mestilah berfikiran rasional dan bijak dalam menilai sesuatu perkara supaya tidak menyesal dikemudian hari. Bak kata pepatah, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.








Implikasi Masalah Pembuangan Bayi

Pembuangan bayi pada hari ini telah memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama dan penting negara pada masa hadapan, memainkan peranan yng besar dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu cara terbaik untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Kesan-kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara itu sendiri.

·         Kesan kepada Ibu Bayi

Kesan kepada ibu bayi berkenaan atau lebih tepat lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak, mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius, kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri tanpa pertolongan daripada pihak hospital dan pihak lain. Selain itu, pesalah juga sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang, agama, dan negara.

·         Kesan kepada Institusi Kekeluargaan

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga, berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan. Apabila institusi sesebuah keluarga itu runtuh, keharmoniaan dalam kekeluargaan juga turut terkena tempiasnya. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak yang sebegitu rupa tingkah lakunya. Mereka menganggap anak seperti ini telah menconteng arang ke muka mereka. Apa yang mereka bimbangkan adalah jiran sekeliling mereka yang pastinya memandang serong dan negatif dengan keluarga mereka. Disebabkan masalah pembuangan bayi juga, masalah penceraian berlaku. Ibu bapa remaja yang terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral ini bergaduh dan menyalahkan sesama sendiri kerana tidak pandai mendidik dan memelihara anak sehingga anak-anak yang lain terpaksa menanggung akibatnya. Sebagai ibu bapa, janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka tetapi membantu dengan memberi sokongan dan panduan untuk meneruskan hidup.

·         Kesan kepada Masyarakat

Kesan yang seterusnya adalah kepada masyarakat. Kes pembuangan bayi yang berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Peribahasa ini bertepatan sekali dengan situasi yang berlaku ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang luar tentang kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti daripada berlaku.

·         Kesan kepada Negara

Tidak dapt dinafikan juga pembuangan bayi akan memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang akan berlaku ialah kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan akan keadaan ekonomi negara juga sukar berkembang kerana wujud gejala sosial ini. Perbelanjaan kerajaan akan turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan masyarakat.

Cadangan dan Langkah-Langkah Mengatasi

Perbuatan membuang bayi di merata-rata tempat adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik daripada itu kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan dan nyawa anak-anak. Inilah kesannya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama. Langkah yang lebih berkesan perlu diambil oleh semua pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada lagi anak-anak luar nikah yang dilahirkan terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya.





·         Peranan Ibu Bapa

Bagi mengatasi masalah ini dari terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan yang penuh kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat remaja. Manusia perlu memenuhi keperluan peringkat asas atau keperluan hayat atau fisiologi terlebih dahulu sebelum timbul keperluan peringkat berikutnya iaitu keperluan keselamatan. Seterusnya, keperluan kasih sayang dan diikuti pada peringkat berikutnya, keperluan peringkat kendiri. Peringkat yang terakhir adalah sempurna kendiri. Berdasarkan teori ini kasih sayang diletakkan pada peringkat ketiga di mana memberi gambaran bahawa penghargaan dan kasih sayang sangat penting kepada manusia lebih-lebih lagi diperingkat remaja. Sekiranya ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya maka anak-anak akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. Oleh itu, ibu bapa mestilah memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah diri anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke lembah maksiat seperti seks rambang, pergaulan bebas, dan sebagainya.

·         Peranan Sekolah

Selain itu, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mencorak sahsiah peribadi remaja daripada terjebak dengan gejala ini. Menurut pandangan Karen Yong (2006), dalam penulisannya yang bertajuk ‘masalah sosial tiada penghujungnya’, pihak pentadbiran sekolah perlu mewujudkan Sekolah Bebas Gejala Sosial dengan mengadakan pendidikan secara komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah/IPT, intervensi, latihan guru dan penglibatan ibubapa. Pendidikan ini adalah elemen penting dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan institusi penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala sosial. Kementerian Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan pencegahan masalah sosial di peringkat sekolah, Institusi Latihan Guru dan IPT untuk mewujudkan pemikiran generasi muda supaya menjauhi gejala sosial, menyediakan alternatif-alternatif berfaedah yang dapat mencegah daripada terlibat dengan gejala sosial dan mewujudkan suasana sekitar yang menjadikan masalah sosial itu dibenci dan jijik (Khoo Kay Kim dan Alias Mohammed 1937).

·         Pencegahan sebelum berlaku

Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, dan sebagainya. Walaupun gejala ini bermula dengan masalah individu tetapi jika tidak dibendung ianya akan memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan masyarakat sekitarnya. Masalah pembuangan bayi boleh diklasifikasikan sebagai salah satu jenayah yang paling kritikal di Malaysia. Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah bekerjasama dalam mewujudkan kesedaran tentang kesan dan bahaya pembuangan bayi.
Di samping itu, mereka juga perlu merangsang penglibatan seluruh masyarakat setempat dalam usaha memerangi masalah pembuangan bayi yang semakin meruncing ini. Setiap individu, keluarga dan masyarakat di satu-satu kawasan perlu bekerjasama dan mempunyai peranan dalam pencegahan gejala ini dan memastikan kawasan mereka bersih daripada gejala sosial ini. Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat juga perlu tampil ke hadapan bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan program-program seperti pencegahan pergaulan bebas di kawasan mereka. Strategi jangka panjang ini juga untuk mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa pergaulan bebas membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat.

·         Bantuan kepada ibu-ibu yang hamil luar nikah

Akhir sekali, anak-anak remaja yang hamil luar nikah mestilah dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah. Hal ini penting bagi menjamin kesihatan si ibu dan juga anak yang bakal dilahirkan. Sekiranya penjagaan rapi dibuat, gejala pembuangan bayi mungkin dapat dikurangkan walaupun tidak sepenuhnya. Semua pihak digesa agar turut serta dalam memberi bimbingan dan bantuan kepada kaum lelaki dalam usaha mendidik golongan tersebut untuk tidak mengambil kesempatan terhadap wanita.






Rumusan

Setelah meneliti dan mengkaji tentang permasalahan pembuangan bayi, terdapat banyak aspek yang boleh dikaitkan dengan masalah ini seperti punca-punca masalah, kesan-kesan daripada masalah, dan langkah-langkah mengatasi. Antara punca-punca masalah pembuangan bayi adalah kurangnya didikan agama dalam diri, terpengaruh dengan rakan sebaya yang mempunyai moral yang negatif, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum individu yang terlibat tanpa usul periksa, dan sikap remaja yang suka mencuba sesuatu yang baru. Semua punca ini membuktikan betapa ampuhnya jati diri seseorang dalam meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.
Selain itu, kesan-kesan daripada permasalahan ini juga patut dititikberatkan. Hal ini kerana, melihat kepada kesan-kesan yang diperhatikan, pastinya negara Malaysia tidak mampu untuk terus bersaing dengan negara lain disebabkan golongan remaja terus hanyut dengan masalah sosial ini. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti berlaku sekiranya remaja pada hari ini tidak tahu cara untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka sendiri. Antara kesan-kesan pembuangan bayi adalah seperti kesan kepada bayi yang dibuang, kesan kepada ibu yang melahirkan, kesan kepada institusi kekeluargaan, dan juga kesan kepada masyarakat.
Akta yang terlibat juga sudah menerangkan bahawasanya telah diperuntukkan di bawah akta yang terlibat didalam kes pembuangan bayi ialah Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) - Akta 611 seksyen 31. Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM 20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesimpulan yang dapat dibuat mengenai kes pembuangan bayi ini ialah semua pihak haruslah bekerjasama untuk menangani masalah ini. Jika salah satu pihak tidak mengambil tahu, masalah pembuangan bayi ini akan terus menjadi semakin serius.


Rujukan

Internet
·         Wikipedia (2011). Hukuman mati di Malaysia. Diperoleh daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Hukuman_mati_di_Malaysia.
·         Berita Harian (2010). Tangani kes pembuangan bayi. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tanganikesbuangbayi/Article
·         Rohaniza Idris dan Umi Nadirah Abdul Rahman (2010). Empat lagi kes buang bayi. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Empatlagikesbuangbayi/Article
·         Anitayahya. 2007. Pengguguran dan Pembuangan Bayi: Definisi pembuangan bayi.  Diperoleh daripada http://pengguguranbayi.blogspot.com/  
·         Abdul Halim Abdullah. 2010. Koleksi Berita Buang Bayi: Remaja Tanam Bayi. Diperoleh daripada http://inijalanku.wordpress.com/berita-baru/mayat-bayi-ditemui/   

Buku
·         Kamus Dewan Edisi 4. 2005. Edisi baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
·         Khoo Kay Kim dan Alias Mohammed. 1937. Masalah Sosial Dan Politik Di Malaysia.
Kuala Lumpur: Gateway.
·         Karen Yong (2006), dalam penulisannya yang bertajuk MASALAH SOSIAL TIADA PENGHUJUNGNYA

Surat Khabar

Rizanizam Abdul Hamid. 2010. Remaja Tanam Bayi. Utusan Malaysia, 17 Mei: 17.

1 comment: