Pembuangan Bayi
Monday, 6 March 2017
ISU PEMBUANGAN BAYI
Pendahuluan
Isu
Pembuangan bayi yang semakin hari semakin banyak dilaporkan di dada akhbar dan
paling menyayat hati terdapat bayi yang tidak berdosa bukan saja dibuang, malah
dibakar. Menurut pandangan
Anitayahya (2007), pengguguran dan pembuangan bayi membawa maksud penamatan
proses kehamilan sebelum cukup bulan (sembilan bulan untuk manusia) yang
mengakibatkan kemusnahan janin. Pandangan yang diberikan oleh saudari
Anitayahya ini membuktikan bahawa pembuangan bayi ini merupakan satu jenayah
yang boleh dianggap sebagai jenayah berat dan teruk. Selain itu, definisi dari
saudari Anitayahya turut memaparkan kesan negatif kepada ibu sekiranya proses
kelahiran dalam melahirkan anak tidak mengikut kaedah yang betul.
Mengikut Kamus Dewan Edisi 4, halaman 208,
perkataan buang bermaksud mencampakkan, melemparkan, menghapuskan, dan
menghilangkan. Perkataan bayi bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh si
ibu. Manakala, makna pembuangan bayi pula adalah perbuatan mencampakkan atau
menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada
sifat berperikemanusiaan. Definisi yang ditakrifkan dalam kamus Dewan ini
menjurus ke arah menerangkan makna pembuangan bayi yang lebih jelas. Maksud
yang diberikan ini mampu memberi lebih kefahaman kepada pembaca untuk
mengetahui lebih mendalam tentang masalah pembuangan bayi ini.
Akta
yang terlibat didalam kes pembuangan bayi ialah Di bawah Akta Kanak-kanak 2001
(Child Act) Bab 3 Kesalahan Berhubung Dengan Kesihatan Dan Kebajikan Kanak
–Kanak. Seksyen 31 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan
kanak-kanak. Di Malaysia, kes pembuangan bayi dilihat berlaku semakin
menjadi-jadi. Dianggarkan bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes
pembuangan bayi dilaporkan di Malaysia, manakala 60 kes direkodkan sejak awal
tahun 2010 hingga 12/8/2010. Malah masalah ini dari hari ke hari semakin
bertambah di negara tersebut. Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah memutuskan
kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi
memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes
bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa
hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen
307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Sebelum ini, semua
kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang
boleh dihukum denda maksimum RM 20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya
sekali jika sabit kesalahan.
Faktor-Faktor Pembuangan Bayi
Pada
zaman abad ke 21 ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dan
bersedia dalam menongkah arus pemodenan dan globalisasi. Kini, nama Malaysia
begitu terkenal di mata dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini,
masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama
bersarang dalam kalangan masyarakat Malaysia, iaitu masalah pembuangan bayi.
Biasanya, golongan remaja yang sering terlibat dalam kes pembuangan bayi di
Malaysia. Di bawah ada beberapa faktor pembuangan bayi:
·
Kurang Didikan dan
Kefahaman Agama
Faktor utama berlakunya permasalahan
ini ialah kurangnya didikan dan kefahaman agama. Kekurangan didikan agama yang
merupakan panduan dan pedoman hidup remaja telah menyebabkan mereka hilang
haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif
seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Remaja yang melibatkan diri dalam
gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sudah semestinya menjalinkan
hubungan di luar tabii. Hal ini telah menyebabkan remaja perempuan mengandung
sebelum ada ikatan yang sah. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang
pegangan agama tidak teragak-agak untuk membuang dan meninggalkan anak mereka selepas
dilahirkan. Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja membunuh dan membakar bayi
yang mereka lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit
mereka. Sikap negatif mereka ini telah menimbulkan seribu tanda tanya kepada
masyarakat tentang kewibawaan mereka dalam memacu Malaysia ke arah pemodenan
pada masa hadapan.
·
Pengaruh Rakan Sebaya
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga
menyebabkan masalah kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja berlaku. Rakan-rakan
yang negatif tidak teragak-agak mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara
di luar batasan agama dan norma masyarakat seperti pergi ke tempat hiburan,
menghisap dadah, melepak, melakukan pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan, dan sebagainya. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif
tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan akhirnya menemui
jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang
terdesak, mereka terpaksa membuang bayi mereka demi mengelakkan maruah diri dan
keluarga tercemar.
·
Sikap Masyarakat
Di samping itu, sikap masyarakat yang
suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah pembuangan bayi ini
berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah
pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang serong padanya. Secara
tidak langsung, remaja perempuan itu juga pastinya dianggap menjatuhkan maruah
keluarganya. Remaja perempuan berasa tertekan dengan bebanan yang ditanggung
seorang diri tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Demi menjaga imej sendiri
dan juga keluarga, remaja tersebut mengambil jalan mudah dengan membuang
bayinya ekoran bimbang dipandang jijik dan hina oleh masyarakat. Jalan mudah
yang diambil mereka membuktikan bahawa mereka memerlukan bimbingan dan sokongan
daripada masyarakat untuk menyelesaikan masalah yang mereka alami.
·
Sikap Ingin Tahu Remaja
Faktor yang terakhir adalah sikap
remaja yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin
tahu tentang sesuatu memang wujud dalam diri remaja. Biasanya, mereka gemar
mencuba sesuatu yang baru. Setiap perkara yang dilarang, itulah yang ingin
diterokai oleh mereka. Remaja berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang
sekiranya mencuba benda yang jarang dilakukan oleh orang lain, lebih-lebih lagi
seks rambang. Mereka juga beranggapan bahawa diwaktu usia remajalah mereka
patut berseronok dan bergembira sehingga melakukan perkara seperti seks bebas
ini. Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu ini sebenarnya tidak mengetahui
baik dan buruknya serta akibat yang bakal diterima mereka. Sebagi remaja yang
matang, mereka mestilah berfikiran rasional dan bijak dalam menilai sesuatu
perkara supaya tidak menyesal dikemudian hari. Bak kata pepatah, “sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.
Implikasi Masalah Pembuangan Bayi
Pembuangan
bayi pada hari ini telah memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam
masyarakat. Remaja merupakan aset utama dan penting negara pada masa hadapan,
memainkan peranan yng besar dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan
jangka pendek pasti berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu cara
terbaik untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Kesan-kesan pembuangan
bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi,
ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan
bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara itu sendiri.
·
Kesan kepada Ibu Bayi
Kesan kepada ibu bayi berkenaan atau
lebih tepat lagi pesalah. Hal ini kerana, sewaktu pesalah melahirkan anak,
mereka tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan.
Tanpa persediaan yang rapi, pesalah ini pastinya mengalami jangkitan kuman yang
serius, kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang
banyak. Majoritinya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri
tanpa pertolongan daripada pihak hospital dan pihak lain. Selain itu, pesalah
juga sudah semestinya mengalami pelbagai masalah dalam diri seperti kemurungan,
hilang keyakinan diri, dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada
perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang, agama,
dan negara.
·
Kesan kepada Institusi
Kekeluargaan
Di samping itu, akibat daripada
pembuangan bayi juga, berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan. Apabila institusi
sesebuah keluarga itu runtuh, keharmoniaan dalam kekeluargaan juga turut
terkena tempiasnya. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak
yang sebegitu rupa tingkah lakunya. Mereka menganggap anak seperti ini telah
menconteng arang ke muka mereka. Apa yang mereka bimbangkan adalah jiran
sekeliling mereka yang pastinya memandang serong dan negatif dengan keluarga
mereka. Disebabkan masalah pembuangan bayi juga, masalah penceraian berlaku.
Ibu bapa remaja yang terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral ini bergaduh
dan menyalahkan sesama sendiri kerana tidak pandai mendidik dan memelihara anak
sehingga anak-anak yang lain terpaksa menanggung akibatnya. Sebagai ibu bapa,
janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka tetapi membantu dengan memberi
sokongan dan panduan untuk meneruskan hidup.
·
Kesan kepada Masyarakat
Kesan yang seterusnya adalah kepada
masyarakat. Kes pembuangan bayi yang berlaku telah menjejaskan imej masyarakat
sekeliling. Mereka pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Sudah semestinya remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja
merupakan golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. “Kerana nila
setitik, rosak susu sebelanga”. Peribahasa ini bertepatan sekali dengan situasi
yang berlaku ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada kegiatan
tidak bermoral ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang
luar tentang kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti
daripada berlaku.
·
Kesan kepada Negara
Tidak dapt dinafikan juga
pembuangan bayi akan memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh
dan bangun sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja
atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang akan berlaku ialah
kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan akan keadaan ekonomi negara
juga sukar berkembang kerana wujud gejala sosial ini. Perbelanjaan kerajaan
akan turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah
kebajikan masyarakat.
Cadangan dan Langkah-Langkah Mengatasi
Perbuatan
membuang bayi di merata-rata tempat adalah satu jenayah yang amat zalim dan
keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik
daripada itu kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi
keselamatan dan nyawa anak-anak. Inilah kesannya apabila rohani seseorang tidak
diisi dengan ajaran agama. Langkah yang lebih berkesan perlu diambil oleh semua
pihak untuk membendung gejala sosial itu agar tidak ada lagi anak-anak luar nikah
yang dilahirkan terbiar dan tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya.
·
Peranan Ibu Bapa
Bagi mengatasi masalah ini dari terus
berpanjangan, para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih sayang dan
bimbingan yang penuh kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat
remaja. Manusia perlu memenuhi keperluan peringkat asas atau keperluan hayat
atau fisiologi terlebih dahulu sebelum timbul keperluan peringkat berikutnya
iaitu keperluan keselamatan. Seterusnya, keperluan kasih sayang dan diikuti
pada peringkat berikutnya, keperluan peringkat kendiri. Peringkat yang terakhir
adalah sempurna kendiri. Berdasarkan teori ini kasih sayang diletakkan pada
peringkat ketiga di mana memberi gambaran bahawa penghargaan dan kasih sayang
sangat penting kepada manusia lebih-lebih lagi diperingkat remaja. Sekiranya
ibu bapa kurang atau tidak memberi kasih sayang yang secukupnya maka anak-anak
akan mencari kasih sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya. Oleh
itu, ibu bapa mestilah memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah
diri anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke lembah maksiat seperti seks
rambang, pergaulan bebas, dan sebagainya.
·
Peranan Sekolah
Selain itu, pihak sekolah juga
memainkan peranan dalam mencorak sahsiah peribadi remaja daripada terjebak
dengan gejala ini. Menurut pandangan Karen Yong (2006), dalam penulisannya yang
bertajuk ‘masalah sosial tiada penghujungnya’, pihak pentadbiran sekolah perlu
mewujudkan Sekolah Bebas Gejala Sosial dengan mengadakan pendidikan secara
komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah/IPT, intervensi,
latihan guru dan penglibatan ibubapa. Pendidikan ini adalah elemen penting
dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan institusi penting bagi
melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala sosial. Kementerian
Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan
melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan
pencegahan masalah sosial di peringkat sekolah, Institusi Latihan Guru dan IPT
untuk mewujudkan pemikiran generasi muda supaya menjauhi gejala sosial,
menyediakan alternatif-alternatif berfaedah yang dapat mencegah daripada
terlibat dengan gejala sosial dan mewujudkan suasana sekitar yang menjadikan
masalah sosial itu dibenci dan jijik (Khoo Kay Kim dan Alias Mohammed 1937).
·
Pencegahan sebelum berlaku
Pencegahan merupakan
strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat
dengan gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan,
dan sebagainya. Walaupun gejala ini bermula dengan masalah individu tetapi jika
tidak dibendung ianya akan memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan
masyarakat sekitarnya. Masalah pembuangan bayi boleh diklasifikasikan sebagai
salah satu jenayah yang paling kritikal di Malaysia. Sehubungan dengan itu,
semua pihak mestilah bekerjasama dalam mewujudkan kesedaran tentang kesan dan
bahaya pembuangan bayi.
Di samping itu, mereka juga perlu
merangsang penglibatan seluruh masyarakat setempat dalam usaha memerangi
masalah pembuangan bayi yang semakin meruncing ini. Setiap individu, keluarga
dan masyarakat di satu-satu kawasan perlu bekerjasama dan mempunyai peranan
dalam pencegahan gejala ini dan memastikan kawasan mereka bersih daripada
gejala sosial ini. Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat juga perlu tampil ke
hadapan bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan program-program seperti
pencegahan pergaulan bebas di kawasan mereka. Strategi jangka panjang ini juga
untuk mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa pergaulan
bebas membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat.
·
Bantuan kepada ibu-ibu yang
hamil luar nikah
Akhir sekali, anak-anak remaja yang
hamil luar nikah mestilah dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja
menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah
membina kekuatan dalaman serta rohaniah. Hal ini penting bagi menjamin
kesihatan si ibu dan juga anak yang bakal dilahirkan. Sekiranya penjagaan rapi
dibuat, gejala pembuangan bayi mungkin dapat dikurangkan walaupun tidak
sepenuhnya. Semua pihak digesa agar turut serta dalam memberi bimbingan dan
bantuan kepada kaum lelaki dalam usaha mendidik golongan tersebut untuk tidak
mengambil kesempatan terhadap wanita.
Rumusan
Setelah
meneliti dan mengkaji tentang permasalahan pembuangan bayi, terdapat banyak
aspek yang boleh dikaitkan dengan masalah ini seperti punca-punca masalah,
kesan-kesan daripada masalah, dan langkah-langkah mengatasi. Antara punca-punca
masalah pembuangan bayi adalah kurangnya didikan agama dalam diri, terpengaruh
dengan rakan sebaya yang mempunyai moral yang negatif, sikap masyarakat yang
suka mengkritik dan menghukum individu yang terlibat tanpa usul periksa, dan
sikap remaja yang suka mencuba sesuatu yang baru. Semua punca ini membuktikan
betapa ampuhnya jati diri seseorang dalam meneruskan kehidupan yang penuh
cabaran ini.
Selain
itu, kesan-kesan daripada permasalahan ini juga patut dititikberatkan. Hal ini
kerana, melihat kepada kesan-kesan yang diperhatikan, pastinya negara Malaysia
tidak mampu untuk terus bersaing dengan negara lain disebabkan golongan remaja
terus hanyut dengan masalah sosial ini. Kesan jangka panjang dan jangka pendek
pasti berlaku sekiranya remaja pada hari ini tidak tahu cara untuk membentuk
dan memuliakan akhlak mereka sendiri. Antara kesan-kesan pembuangan bayi adalah
seperti kesan kepada bayi yang dibuang, kesan kepada ibu yang melahirkan, kesan
kepada institusi kekeluargaan, dan juga kesan kepada masyarakat.
Akta
yang terlibat juga sudah menerangkan bahawasanya telah diperuntukkan di bawah
akta yang terlibat didalam kes pembuangan bayi ialah Di bawah Akta Kanak-kanak
2001 (Child Act) - Akta 611 seksyen 31. Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah
memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan
membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima
hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta
574) yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh
mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta
Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM 20,000 atau penjara 10
tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesimpulan
yang dapat dibuat mengenai kes pembuangan bayi ini ialah semua pihak haruslah
bekerjasama untuk menangani masalah ini. Jika salah satu pihak tidak mengambil
tahu, masalah pembuangan bayi ini akan terus menjadi semakin serius.
Rujukan
Internet
·
Wikipedia
(2011). Hukuman mati di Malaysia. Diperoleh
daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Hukuman_mati_di_Malaysia.
·
Berita
Harian (2010). Tangani kes pembuangan bayi. Diperoleh daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tanganikesbuangbayi/Article
·
Rohaniza
Idris dan Umi Nadirah Abdul Rahman (2010). Empat lagi kes buang bayi. Diperoleh
daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Empatlagikesbuangbayi/Article
·
Anitayahya. 2007. Pengguguran dan Pembuangan
Bayi: Definisi pembuangan bayi. Diperoleh daripada http://pengguguranbayi.blogspot.com/
·
Abdul Halim Abdullah. 2010. Koleksi Berita
Buang Bayi: Remaja Tanam Bayi. Diperoleh
daripada http://inijalanku.wordpress.com/berita-baru/mayat-bayi-ditemui/
Buku
·
Kamus Dewan Edisi 4. 2005. Edisi
baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
·
Khoo Kay Kim dan Alias Mohammed. 1937. Masalah Sosial Dan Politik Di Malaysia.
Kuala Lumpur: Gateway.
·
Karen Yong (2006), dalam
penulisannya yang bertajuk MASALAH SOSIAL TIADA PENGHUJUNGNYA
Surat Khabar
Subscribe to:
Posts (Atom)